widgeo

Isnin, Jun 22, 2009

AYAH!!

Mengenali sikap seorang ayah pada mulanya bknlah senang bagiku...Rentetan kehidupan bersama seorang ayah memberikan aku ruang untuk menyelami insan yang bernama 'Ayah'... Sewaktu kecil ayah ku gambarkan sebagai seorang yang tegas tetapi sentiasa memanjai anak-anaknya...sebelum pergi bekerja terutamanya semasa kami sedang sakit, ayah akan sentiasa bertanya jika kami inginkan sesuatu. Makanan dan mainan, itulah yang selalu dipinta. Saat itu kami mengandaikan ayah seorang yang kaya dan mempunyai pekerjaan yang hebat! Sebaliknya ayah hanya seorang mandur atau pekerja biasa Jabatan Ukur! Tetapi wajah ayah tidak sekalipun berubah...tiada tanda menunjukkan permintaan kami itu agak membebankan!! Walaupun tidak 100% ditunaikan, tetapi bagi ayah ianya memadai agar tidak mengecewakan kami! Pernah aku meminta agar ayah membelikan kek harijadi buatku, ayah hanya mengiyakannya seperti tidak mahu membunuh kegembiraanku...tetapi alangkah tertipu rasanya tika mengetahui ayah hanya membelikan sebiji roti bulat yang penuh dengan kismis! Seperti mengesan kemurunganku, ayah lantas memujukku dan berkata, "Ini adalah hadiah kek harijadi yang lain drp yang lain...special...kek harijadi yang biasa tidak sedap!" Walaupun pada awalnya aku agak liat untuk senyum tetapi dengan belaian dan wajah yang penuh kasih-sayang itu, aku lantas memaafkan ayah dan terus memotong 'kek harijadi' ku itu.
Ketegasan ayah dalam mendidik kami juga masih jelas di ingatan...Wajah ayah akan sentiasa digeruni jika sekiranya ayah mendapati kami telah melakukan kesalahan! Tetapi kemarahan ayah bertempat...tidak sekalipun kami di marahi kerana hal yang remeh-temeh...Tidak menolong dan mengenali saudara-mara, tidak membantu ibu, lalai, malas dan mengganggu barang-barang kesayangannya terutamanya peralatan pertukangannya...merupakan hal yang sentiasa membangkitkan kemarahannya...Kami hanya terpaku dan terdiam membisu sebagai tanda membenarkan kata-kata teguran dari ayah!!
Tapi ayah juga adalah pendorong bagi kami untuk menikmati sepenuhnya zaman kanak-kanak kami. Kalau ibu memarahi kami kerana bermain perahu dan mandi-manda ketika waktu banjir, ayah pula menjadi 'hero' yang akan memberikan alasan untuk kami! Secara automatiknya kami terlepas daripada menjadi mangsa 'tali pinggang' ibu! Jika kami ingin meminta sesuatu daripada ibu, ayah jugalah yang memujuk ibu bagi pihak kami! Jika kami ingin pergi ke suatu tempat, ayah akan memastikan perjalanan kami menjadi sesuatu yang bermakna. Ayah akan sentiasa menceriakan perjalanan kami dengan cerita-cerita yang menarik. Ayah pernah mengatakan kepada ku bahawa bahtera yang dibina bersebelahan dengan masjid SOAS adalah bahtera yang akan digunakan KDYMM Sultan jika BSB banjir. Bayangkan selama 33 tahun cerita itu masih ku ingati dan sentiasa membawa nostalgia pada ku lebih-lebih lagi apabila aku melewati kawasan bahtera tersebut!
Kemahiran ayah dalam pertukangan kayu juga menjadi punca rezeki kami sekeluarga.Tanpa kami sedari ayah sanggup bersusah-payah hanya untuk menyara keperluan kami sekeluarga...membina rumah, bangku, stor, almari, kedai dan sebagainya seperti 'alah bisa tegal biasa' bagi ayah! Buktinya mahligai tempat kami berkumpul sekarang adalah hasil tangan ayah!! Keletihannya seperti hilang setelah menyaksikan anak-anaknya kenyang dan tidur lena dibuai mimpi indah pada hari itu! Pernah ayah membuat jongkang-jongket dan buaian untuk kami agar kami tidak selalu merayau jauh mahupun menagih untuk pergi ke taman permainan...Pelampong 'buah kelapa', basikal berkerusi dua dan rakit tong adalah beberapa ciptaannya yang menunjukkan kreativiti dan sikapnya yang memanjai anak-anak. Tapi sayangnya kemahiran ayah tidak diwarisi anak-anaknya!
Sikap ayah yang tidak suka 'berpeluk tubuh' walaupun setelah bersara, menjadi pemangkin untuk ayah agar meneroka khazanah ciptaan Tuhan. Bercucuk tanam atau berkebun buah menjadi hobi sampingan ayah. Ayah juga pakar dalam mencari ubat-ubatan tradisional seperti akar-akar kayu dan herba. Ayah akan pergi ke hutan jika ada permintaan dari kaum keluarga, rakan-rakannya mahupun jika kami sakit...Tidak sekalipun ayah memaksa kami agar membantunya walaupun ayah pergi bersendirian...Mungkin ayah tidak mahu anak-anaknya merungut akan gigitan nyamuk, tanah becak, panas dan keletihan! Pernah ibu saudara (adik ayah) memberitahu kami, ayah pernah pengsan seketika di dalam hutan dek kerana keletihan...sebagai anak, kerisauan dan kekesalan setentunya hadir dalam benak...tetapi ayah tetap ayah...tidak sekalipun mengeluh dan bercerita mengenai keperitannya! Jika ayah sakit, akar-akar kayu dan herba menjadi ubat-ubatan sampingan selain ubat-ubatan daripada doktor. Mungkin amalan ayah itulah yang menjadikannya seorang yang tahan lasak walaupun dari segi fizikal ayah bukanlah mempunyai badan yang sasa seperti seorang ahli bina badan!
Kerisauan seorang ayah juga jelas terpancar tika kami mengalami kesukaran. Ketebalan ayah sebagai seorang lelaki juga mampu tercalar. Bayangkan setelah ku sembuh dari sakit tenat, ayah sanggup merayu kepada ku agar tidak meneruskan pengajian di Pusat Tingkatan Enam, Maktab Duli hanya kerana dia khuatir sakit ku itu akan berulang lagi. Masih ku ingat kata-kata ayah dan mutiara-mutiara kecil yang membasahi pipi ayah ketika menghantarku pulang ke asrama ketika itu! Kedegilanku juga membuahkan keinginan ayah untuk menghantarku dari kampung ke Gadong hanya untuk menghalangku masuk asrama! Pilu rasanya melihat sinaran kasih-sayang yang berada di hadapanku! Mungkin berkat doa dan keinginan ayah itu, aku tidak meneruskan pengajianku di sana malahan terus ke universiti! Syukur dan terima kasih ayah!
Kebijaksanaan, kesabaran dan sikap diplomasi ayah juga menjadi contoh terbaik buat kami. Tidak terburu-buru untuk menghukum seseorang dan tidak suka menceritakan keburukkan orang lain mahupun menunjukkan kesusahan diri sendiri menjadi legasi ayah kepada kami. Menyelesaikan sesuatu masalah secara muafakat juga menjadi pegangan kami. Kami rasa bersyukur ayah telah memberikan contoh itu kepada kami untuk bekalan kami hidup berkeluarga!
Kehilangan seorang insan yang bergelar 'ayah' amat dirasai...Jika ayah masih hidup, mungkin ayah akan mengharungi hari-hari tuanya dengan penuh kelegaan. Terbayang senyuman ayah sambil duduk di tepi tingkap biliknya (tempat kesukaannya!) memerhatikan anak-anaknya yang berjaya dalam kerjaya masing-masing dan melayani kerenah cucu-cucunya! Ketokohan ayah sebagai ketua keluarga sememangnya tiada gantinya...Namun kehilangan itu ada hikmah disebaliknya...kami diamanatkan untuk menjaga ibu dan juga diri kami sendiri...Pemergian ayah waktu itu seperti memberikan ruang untuk kami agar lebih matang dalam mengharungi rintangan dan dugaan...Untuk mu ayah, jasa mu tetap dikenang...kami akan sentiasa merinduimu...Kasih-sayang ayah tiada duanya...Kini baru kami mengerti peranan seorang insan yang bernama 'Ayah'!
Terima kasih ayahanda "Allahyarham Haji Othman bin Ghani"...
Semoga roh ayahanda diberkati dan dirahmati Allah SWT!...AMIN....
Al Fatihah...